Konsep dan prinsip
perakaunan asas merupakan panduan dalam catatan perakaunan yang ditetapkan oleh
badan perakaunan. Ia patut dipatuhi semasa proses perakaunan untuk memastikan
penyata kewangan yang dihasilkan adalah saksama dan standard. Antara konsep perakaunan
asas ialah:
1) Wang sebagai Ukuran
- Wang merupakan unit ukuran dalam urus niaga perniagaan.
- Dengan merekodkan urus niaga dalam nilai mata wang, ia dapat
memudahkan penghitungan nilai urus niaga.
- Setiap negara mempunyai unit mata wang sendiri, unit mata wang yang
digunakan di negara kita ialah Ringgit Malaysia.
- Contoh: Beli 100 buah beg bernilai RM300 dicatatkan untuk belian.
2) Prinsip Catatan Bergu
- Berdasarkan prinsip catatan bergu, setiap urus niaga harus
direkodkan sekurang-kurangnya dua kali dalam akaun yang berasingan pada
masa dan jumlah yang sama, iaitu satu akaun didebitkan dan satu lagi akaun
dikreditkan.
- Jumlah debit harus sama dengan jumlah kredit. Dengan itu, sistem
catatan bergu dapat membolehkan kita menyemak ketepatan merekod.
- Contoh: jualan barang niaga dengan harga RM500 secara tunai. akaun
jualan dikreditkan denga RM500 manakala akaun tunai didebitkan dengan
RM500.
3) Entiti Berasingan
- Dalam perakaunan, pemilik perniagaan dan perniagaan dianggap
sebagai entiti berasingan.
- Dengan itu, hanya urus niaga yang berkaitan dengan perniagaan
sahaja direkodkan dalam buku perniagaan.
- Urus niaga peribadi pemilik tidak boleh direkodkan di dalam buku
perniagaan.
- Contoh: Pemilik mengeluarkan wang tunai RM200 untuk membayar yuran
peperiksaan anaknya dianggap sebagai ambilan dan tidak boleh dianggap
sebagai belanja perniagaan.
4) Tempoh Perakaunan
- Sesebuah perniagaan diandaikan akan beroperasi berterusan untuk
jangka masa yang panjang.
- Walau bagaimanapun, untuk membolehkan laporan prestasi perniagaan
dibuat dan dibandingkan, hayat perniagaan dibahagikan kepada jangka masa
tertentu yang dikenali sebagai tempoh perakaunan.
- Tempoh perakaunan mungkin setahun, setengah tahun dan sebagainya.
- Contoh: jika tempoh perakaunan sesebuah perniagaan adalah setahun
dan ia bermula dari 1 Januari, maka ia akan berakhir pada 31 Disember.
5) Kos sejarah
- Menurut konsep kos sejarah, semua urus niaga
harus direkod mengikut harga belian atau kos belian.
- Amaun tersebut akan direkodkan dalam buku
perakaunan walaupun berlaku turun naik harga dipasaran bagi barang
tersebut.
- Kos belian merupakan satu nilai yang objektif
kerana harga tersebut terbukti dalam dokumen perniagaan.
- Contoh: Sebuah perniagaan membeli sebuah kenderaan
dengan harga RM25 000 pada tahun 2003. Walaupun nilainya telah jatuh
menjadi RM24 000 pada tahun 2004, ia masih dicatat sebagai RM25 000 dalam
buku perakaunan.
6) Berterusan
- Perniagaan diandaikan akan beroperasi secara
berterusan untuk suatu jangka masa yang panjang.
- Konsep ini berkaitan dengan kos sejarah iaitu
dengan andaian ini, semua aset perniagaan harus direkod pada harga belian
atau kos sejarah.
7) Pemadanan
- Mengikut prisip pemadanan, hasil bagi
suatu tempoh perakaunan harus dipadankan dengan perbelanjaan bagi tempoh
tersebut untuk mendapat untung atau rugi bersih bagi tempoh berkenaan.
- Untung atau rugi sesebuah perniagaan tidak
boleh dikira berdasarkan penerimaan atau pembayaran dalam satu tempoh
masa.
- Pendapatan bagi satu tempoh perakaunan adalah
wang yang sepatutnya diterima bagi tempoh tersebut, sama ada sudah
diterima atau belum diterima.
- Begitu juga belanja bagi satu tempoh
perakaunan, ia merupakan wang yang sepatutnya dibayar bagi tempoh
tersebut, sama ada sudah dibayar atau belum dibayar.
- Contoh: Premium insurans perniagaan adalah
RM500 setahun tetapi jumlah premium yang sudah dibayar bagi satu tahun
ialah RM400 dan RM100 dibayar pada tahun berikutnya. Jumlah yang
sebenarnya ditolak daripada untung kasar ialah RM500 iaitu jumlah yang
sepatutnya dibayar pada tahun tersebut.
8) Ketekalan
- Konsep ketekalan menyatakan sesebuah
perniagaan harus mengekalkan kaedah perakaunan yang telah ditetapkan untuk
beberapa tempoh perakaunan yang berterusan.
- Contohnya, jika kaedah susut nilai aset tetap
secara ansuran tetap digunakan untuk menyusutnilai kenderaan, maka ia akan
diamalkan secara berterusan untuk tahun-tahun seterusnya.
- Konsep ketekalan yang diamalkan membolehkan
perbandingan dibuat.
9) Materialiti
- Menurut konsep materialiti, nilai yang
dianggap dapat memberi kesan kepada penyata kewangan akan direkodkan.
- Nilai kecil yang tidak memberi kesan kepada
penyata kewangan dianggap tidak material dan tidak perlu dimasukkan ke
dalam Kunci Kira-kira.
- Contoh: Sebuah buku panduan poskod dibeli
dengan harga RM5.00 untuk kegunaan pejabat tidak direkodkan sebagai aset
dalam Kunci Kira-kira kerana nilainya adalah kecil walaupun boleh
digunakan untuk jangka masa panjang.